Kebebasan ala Malaysia

 

Pada zahirnya kita tidak boleh label Malaysia sebagai tidak demokratik. Ciri-ciri luaran tidak menggambarkan keadaan sedemikian. Rakyat pada umumnya bebas untuk membuat apa yang mereka suka, pergi ke mana mereka hendak, dan bercakap sesuka hati mereka tanpa di cekup oleh "secret" polis ala Gestapo/SAVAK. Negara mengamalkan sistem pasaran bebas, parti pembankang boleh ditubuh, pilihan raya diadakan setiap 5 tahun, dsb. Pokoknya semua natijah proses demokrasi terdapat di Malaysia.

Apa yang sebenarnya berlaku di Malaysia adalah lebih bermirip kepada ungkapan "indah khabar dari rupa." Demokrasi hanya wujud selagi rakyat tidak menyoal kerakusan pemimpin-pemimpin dan kepentingan mereka. Selagi rakyat tidak menyoal kekayaan dan tingkah laku penyewelengan mereka, rakyat bebas di Malaysia. Adalah merupakan satu "taboo" untuk rakyat menyoal pemimpin dari segi perihal harta yang mereka kumpul, moral dan ketelusan. Walaupun Malaysia tidak ada Gestapo atau SAVAK, Malaysia ada ISA dan SB. Dengar saja ISA dan SB, semua orang kecut.

Apabila konsep Malaysia Incorporated diterima sebagai cara kerajaan mentadbir negara, sebenarnya ia merupakan satu laluan yang licik bagi pemimpin mengumpul harta. Rakyat dikaburkan mata mereka dengan hujah bahawa konsep itu akan membawa permodenan, pembangunan, kemewahan, mutu perkhidmatan yang canggih dan kemakmuran kepada rakyat. Hakikat sebenar ialah seperti Ali Baba berkongsi habuan dengan rakannya, "satu untuk kau, dua untuk aku; tiga untuk kau, empat untuk aku...." Yang kaya semakin kaya, yang miskin tidak akan jadi kaya. Pemimpin yang berkuasa mengambil isi, rakyat dapat sisa.

Rakyat dialpakan dengan kebendaan dalam package yang bernama "pembangunan." Rakyat disibukkan dengan membuat duit, mencari kemewahan, membeli itu dan ini, mengejar dunia, bersaing dalam mu'amalah duniawi. Di dalam keadaan begitu mana ada masa untuk rakyat nak fikirkan tentang kemungkaran dan kepincangan pemimpin-pemimpin. Rakyat terlalu sibuk dengan masalah sendiri - hendak bayar hutang kereta (kereta-kereta), hutang rumah (rumah-rumah), hutang tanah, hutang perabut, hutang ini dan itu. Mereka dibebankan dengan masalah persendirian sampai tidak ada masa untuk memikirkan masalah luaran selain dari kehidupan mereka. Memang keadaan ini dirancang oleh pemimpin, ia bukan satu "accident."

Rakyat yang tidak menghiraukan isu-isu keadilan dan perihalnya sangat "disayangi" oleh pemimpin-pemimpin yang korap. Rakyat seumpama ini merupakan rakyat misali - rakyat yang akur! Disebaliknya, rakyat yang berani menyoal dan menentang, mereka dilabel sebagai rakyat yang tidak mengenang budi, yang telah dihasut oleh anasir-anasir jahat, petualang agen-agen luar negeri, dsb.

Apabila rakyat sibuk dengan kehidupan seharian mereka, dan pada malamnya pula diadukan dengan pelbagai hiburan, pemimpin yang rakus bebas untuk memperkayakan diri mereka dan kroni-kroninya. Rakyat "kesayangan" terlalu penat (oleh kerja) dan mabuk (dengan hiburan) untuk melihat, menegur dan menyekat maksiat dan perbuatan korap pemimpin-pemimpin ini.

Sila tanya diri masing-masing, adakah anda lebih mewah sekarang dari dulu? Walaupun gaji berganda, adakah hutang juga berlipat-ganda? Adakah elaun dan bonus yang diberi setiap tahun berbaloi dengan "cost of living?" Malaysia mungkin pada zahirnya mempamerkan pembangunan yang pesat, terutama di bandar seperti Kuala Lumpur. Rata-rata adakah kemewahan rakyat seimbang dengan kemewahan pemimpin-pemimpin?

Sudah tiba masanya untuk kita melihat kesilapan dan kealpaan diri kita sendiri dalam menangani kemelutan politik di Malaysia sekarang. Harapan kita supaya pemimpin-pemimpin ini akan berubah adalah sangat tipis. Boleh diibaratkan pemimpin-pemimpin ini sebagai "gone case." Allah tidak akan memberi kita pemimpin yang lebih baik sekiranya kita masih bersikap AKUR kepada yang sedang ada. Perlu kita bangun daripada "kesibukkan" seharian kita, dan cuba celikan mata hati kepada apa yang benar-benar sedang berlaku disekeliling kita. Kebebasan kita sebenarnya hanya merupakan satu bayangan. Semakin hari prinsip keadilan, ketelusan, "public accountability" dirogol oleh pemerintah dikhalayak ramai. Dan mereka dengan angkuh berkata,"And you couldn't do a damn about it!" Bak kata orang putih, "Fool me once shame on you, fool me twice shame on me." Berapa kali rakyat sudah ditipu sebelum hendak bertindak?

 

Diam Diam Ubi.