Make your own free website on Tripod.com

Keluhan Rakyat Malaysia Di Amerika Syarikat

 

Sebilangan besar rakyat Malaysia di Amerika Syarikat merupakan pelajar. kebanyakan daripada mereka ini ditaja oleh kerajaan. Terdapat juga pelajar yang menampung diri mereka dengan dana persendirian/keluarga. Di bandaraya besar seperti New York, Los Angeles dan Washington DC wujudnya pegawai-pegawai kerajaan yang terdiri daripada para diplomat, pegawai MARA, pegawai MSD dan beberapa cawangan kerajaan yang lain.

Mutakhir ini, ekoran dari kemelesetan ekonomi yang dialami oleh negara kita, jumlah pelajar dan juga pegawai telah dikurangkan dengan drastik. Namun begitu, boleh dikatakan semua mereka ini mengikuti pergolakkan politik semasa di tanah air. Perlu diingat bahawa pelajar yang telah dipilih untuk melanjutkan pelajaran mereka di AS merupakan "cream of the nation." Ini bererti dari segi pemikiran, mereka ini berkebolehan menilai dengan jitu. Mereka bukanlah terdiri daripada golongan "nerd" yang hanya menumpukan perhatian mereka terhadap pelajaran, atau seperti katak duduk di bawah tempurung. Umumnya, bab pelajaran janganlah dikhuatirkan - mereka tahu tanggungjawab mereka untuk mendapatkan ijazah. Mereka tidak akan sia-siakan wang rakyat yang membiayai pelajaran mereka di AS. Dalam masa yang sama, mereka tidak akan membisu apabila melihat kepincangan berlaku di tanah air. Sekurang-kurangnya, pena dan ideal mereka tidak boleh dibisukan, walaupun mulut sesetengah dari mereka kelu dan takut.

Apabila seseorang itu berada di instituisi pengajian tinggi di AS, pendedahan kepada IT tidak ada had. Oleh demikian, dalam isu pergolakkan politik dewasa ini, boleh kita membuat rumusan bahawa kuantiti maklumat yang pelajar ini dapat adalah lebih daripada kebanyakkan rakyat di Malaysia, ia itu sekiranya sumber informasi yang di terima oleh rakyat di Malaysia hanyalah melalui media massa (TV3, RTM, Utusan Malaysia, Berita Harian, Straits Times, The Star, dll) yang dikuasai dan dipengaruhi oleh ahli politik yang berkepentingan. Lainlah ceritanya sekiranya mereka boleh mendapat maklumat melalui internet. Tetapi jangan kita terperanjat sekiranya sebilangan besar rakyat Malaysia hanya menggunakan Internet untuk hiburan, melihat gambar-gambar lucah, berbual di chat room, dsb.

Oleh disebabkan fenomena IT yang tidak dapat disekat, maka pelajar di AS sekurang-kurangnya mendapat "a balance report." Mereka boleh membaca berita, laporan dan analisis dari sumber-sumber yang memihak kepada ahli politik yang menguasai kerajaan; dan disamping itu mereka juga dapat membaca berita, laporan dan analisis pihak yang mengkritik pihak yang berkuasa. Senario begini sangatlah baik dan sihat bagi pelajar yang bakal menjadi pemimpin negara, pendidik, dsb. Apabila didedahkan kepada pelbagai sumber, tanpa kira pro atau kontra mana-mana pihak, pelajar tersebut dapat menilai keadaan dengan menggunakan akal dan perasaan yang telah dikurniakan oleh Allah.

Jarang kita melihat analisis dan pendapat pelajar tersebut didorong oleh emosi membuta atau pun sejenis bentuk taksub yang tidak menentu kepada mana-mana pihak. Rata-rata mereka bijak menilai mana itu nila dan mana itu berlian. Dah kami sebutkan di atas, bahawa pelajar ini terdiri daripada golongan yang cerdik (walau tidak dinafikan terdapat juga "nerds and geeks" di kalangan pelajar ini).

Satu kajian rambang yang telah kita lakukan kepada pelajar di AS menunjukkan lebih dari 90% menyokong arus berubahan, Sayugia diingat bahawa pelajar ini telah didedahkan dengan konsep demokrasi, kerajaan, keadilan, hak-asasi, dsb di dalam proses pembelajaran mereka di universiti masing-masing. Mereka bukannya dikempen oleh pihak yang menentang kerajaan. Oleh itu sekira ada tanggapan bahawa pelajar telah menerima propaganda dan hasutan parti pembangkang sama sekali meleset.

Kebanyakkan pelajar membuat pendirian mereka atas keilmuan yang mereka perolehi dan pengunaan akal dan perasaan yang telah dikurniakan oleh Allah. Pertimbangan mereka tidak bergantung kepada bisikan anasir-anasir anti-kerajaaan, tetapi berdasarkan kepada konsep Benar dan Salah. Batu ukuran mereka bukannya sejauh mana pembangunan di tanah air, tetapi naluri hati kecil mereka. Bila seseorang merujuk kembali kepada hati, maka hati tidak sekali akan menipu diri. Dan apabila kami di AS melihat pergolakkan politik di tanah air, hati kami dapat mengenalpasti mana yang benar dan mana yang salah - nyata terlalu banyak kepincangan melanda sistem keadilan di bumi Malaysia. Apa gunanya pembangunan prasarana sekiranya keadilan tiada?

Anehnya, maklumat yang kami terima dari pelajar di merata AS, boleh diperhatikan bahawa golongan pegawai kerajaan yang berada di AS, pada amnya mereka ini masih akur kepada yang berkuasa di Malaysia. Dari segi pendedahan kepada IT, kedua-dua golongan (pelajar dan pegawai) ini berpeluang kepada sumber-sumber yang sama - dalam erti kata lain, pendedahan mereka adalah seimbang. Lainlah sekiranya para pegawai ini tidak mahu membaca sumber-sumber selain dari sumber kerajaan. Dalam keadaan begitu, fahamlah kita kenapa mereka berjalan dengan "senget."

Kami ingin memperingatkan kepada pegawai-pegawai ini bahawa "silence" pelajar tidak bererti mereka ini pasif, apolitical atau pun pro kepada ahli politik yang rakus. "Silence" mereka adalah kerana berwaspada terhadap kemungkinan tindakan disiplin terhadap diri mereka (ingat - pelajar ini pintar, bukan bodoh dan dayus), justeru tidak dapat memenuhi tanggungjawab kepada rakyat yang telah mengamanahkan duit mereka kepada kerajaan - duit rakyat, bukannya duit kerajaan!

Apabila rakyat mengkritik kerajaan tidak bererti rakyat itu tidak patriotik atau tidak berterima kasih kepada kerajaan. Oleh kerana kepatriokan terhadap negaralah yang menyebabkan kami menegur, menyoal, mengkritik dan kadang-kala mengencam tindakan ahli politik yang rakus. Jangan menyamakan kerajaan (sebagai satu instituisi masyarakat ) dengan ahli atau parti politik. Ahli dan parti politik yang berkuasa hanyalah menjalankan amanah kepada instituisi tersebut; diamanahkan untuk menjaga kesejahteraan, keadilan dan kemakmuran masyarakat - bukan untuk membolos kekayaan dalam proses membawa pembangunan ke negara.

Berbalik kepada bab "menegur" kerajaan. Konsep menegur ini adalah hak rakyat. Sekiranya Saiyidina Abu Bakar (ra) sendiri menyuruh rakyat yang beliau pimpin menegur beliau seandainya beliau meinyimpang syariat Allah, apakah kita rakyat Malaysia tidak boleh menegur ahli politik yang berkuasa sekarang? Adakah ahli politik sekarang lebih maha dari Saiyidina Abu Bakar (ra)? Dan bentuk teguran boleh dimanifastasikan dalam pelbagai cara, terutama apabila ruang yang seharusnya dijaminkan oleh amalan demokrasi sudah tidak wujud lagi dalam erti kata sebenar di Malaysia.

Konsep "check and balance" sudah tidak berfungsi lagi di Malaysia. Kebebasan tiga "branches" kerajaan (Judiciary, Executive dan Legislation) hanyalah ingatan dalam sejarah sahaja atau pun hanya "on paper" sahaja. Kuasa sekarang dibolosi oleh Executive dan mereka yang berkepentingan. Kepentingan dan kepincangan mereka dilindungi oleh pihak polis, FRU, SB, AG, akta-akta drakonian (ISA, OSA, akta universiti, dsb), dan yang amat malang sekali sehingga ke peringkat Ketua Hakim Negara.

Semenjak Tun Salleh Abbas disingkirkan jawatan dengan komplot kotor yang dirancang oleh insan bernama Mahatir, kewibawaan instituisi kehakiman hilang. Kepercayaan rakyat kepada polis dan mahkamah berada ditahap yang paling rendah sekali semenjak Malaysia mencapai kemerdekaan. Apa yang diamalkan semenjak pengusiran Tun Salleh Abbas ialah "selective justice." Malah semua konsep yang unggul seperti keadilan, kebebasan bersuara, dsb, hanya diamalkan "selectively," - semua konsep itu telah di "ala Malaysiakan" (lebih tepat ala Mahatir). Para sejarah akan meramkam amalan tersebut sebagai legasi regim Dr. Mahatir.

Kita masih menaruh harapan kepada Raja-raja Melayu. Malangnya kehidupan tuanku-tuanku disisih daripada realiti kehidupan rakyat biasa. Jangan kita salahkan tuanku-tuanku seratus-peratus. Pergaulan, pergerakan dan tata-cara kehidupan tuanku-tuanku, telah digaris oleh pindaan perlembagaan beberapa tahun yang lepas, bermula pada awal tahun lapan-puluhan. Salah satu daripada ramifikasi pindaan perlembagaan tersebut ialah penyisihan sistematik yang amat ketara di antara istana dan masyarakat.

Namun begitu, kedaulatan Raja-raja masih wujud, dan sangat dikhuatiri oleh ahli politik yang rakus. Sekiranya Raja-raja Melayu tersebut bersuara sedikit, pasti negara akan lagi bergema - arus perubahan yang baik pasti menyebelahi pihak yang cintakan keadilan. Adalah sangat tidak munasabah bagi Raja-raja yang merupakan lambang kesejahteraan rakyat, tidak mengambil berat tentang rintihan mereka yang dizalimi oleh menteri-menteri baginda. Sudah sampai masanya rakyat mengembalikan kuasa kepada Raja-raja – supaya Raja dapat berfungsi sebagai Raja yang tulen (bukan simbolik) dan menteri menerima arahan, bukannya sebaliknya.

Kepada yang masih lagi menyokong pemimpin-pemimpin yang rakus lagi angkuh, renungilah sedikit sejarah. Sekuat dan sekaya mana pun pemimpin/regim itu, akhirnya mereka tidak dapat melawan pihak yang benar lagi dizalimi. Sudah menjadi sunnah Allah membungkuskan regim dan manusia yang angkuh ... apatah lagi terhadap manusia yang mempersendakan sunnah Nabi Muhammad (saw). Allah tidak tidur!!! Allah hanya menunggu masa yang sesuai untuk menamatkan keangkuhan puak-puak yang menindas, dan apabila ia berlaku, kebiasaannya dalam keadaan yang hina. Awas!

 

Soalannya kepada penyokong pemimpin yang rakus – kamu mahu berada di kem mana apabila HUKUM Allah turun esok?

Diam Diam Ubi

Somewhere in USA