Ahli Parlimen UMNO sokong keputusan MT

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Kesemua 52 ahli Parlimen UMNO termasuk dari Pulau Pinang yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan hari ini sebulat suara menyokong penuh keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO memecat Timbalan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari parti.

Pengerusi Kelab Ahli-Ahli Parlimen UMNO (UMPG), Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, keputusan itu dicapai setelah mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil ahli parlimen UMNO dari seluruh negara.

Katanya, kesemua ahli kelab tersebut juga telah sedia maklum tentang keputusan itu dan tiada bantahan mengenainya diterima sehingga kini.

''Kami penuh yakin tindakan tersebut adalah untuk menjaga nama baik dan imej parti.

''Sebagai ahli Dewan Rakyat, kami meminta semua rakyat Malaysia supaya bertenang dan berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan negara dalam menghadapi keadaan sekarang,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada para pemberita di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Seramai 23 ahli Parlimen dari 12 negeri serta Wilayah Persekutuan turut hadir pada sidang akhbar tersebut.

Antara mereka ialah ahli Parlimen Parit Sulong, Ruhanie Ahmad, Seripah Norli (Sepang), Datuk Dr. Kamal Salleh (Wangsa Maju), Badrul Hisham Abdul Aziz (Hulu Langat), Khaled Nordin (Johor Bahru) dan Datuk Shukri Mohd. (Machang).

Anwar, 51, yang dipecat dari kesemua jawatan kabinetnya dua hari lalu disingkirkan sebulat suara daripada UMNO oleh MT berkuatkuasa serta merta semalam.

Walaupun tindakan penyingkiran itu dilakukan namun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad enggan menjelaskan sebab-sebab tindakan tersebut atas alasan ia mengikut budi bicara ahli MT.

Dr. Jamaluddin menambah, terdapat beberapa asas kukuh yang telah dipertimbangkan sehingga membawa kepada sokongan terhadap tindakan tersebut.

Empat daripadanya ialah:

* Perdana Menteri adalah pemimpin yang berfikiran jauh dan berpengalaman luas. Kedua-dua unsur ini tentulah telah digunakan sebaiknya dalam membuat keputusan itu.

* Banyak tindakan Perdana Menteri selama ini terbukti betul dan berhasil. Walaupun ada keputusan/tindakannya dicurigai/dipersoalkan, akhirnya betul, bernas dan tepat. Kesemua kebimbangan berkenaan akhirnya lupus.

* Tindakan spekulator memainkan matawang kita dikecam oleh dunia. Sekarang dunia akhirnya mengakui Perdana Menteri adalah betul.

* Pelantikan Tun Daim Zainuddin sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas juga dipersoalkan, tetapi sekarang terbukti beliau dapat membantu ke arah memulihkan ekonomi.

Menurut Dr. Jamaluddin, ahli kelab tersebut turut percaya bahawa Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri telah memikirkan dengan mendalam sebelum memutuskan pemecatan Timbalannya walaupun ia memang mempunyai kuasa mutlak untuk berbuat demikian.

Katanya, ahli kelab itu juga yakin tindakan yang diambil itu adalah demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
 

Utusan Malaysia