Make your own free website on Tripod.com
Utusan Malaysia September 5 1998.
 

Tuduhan Anwar berat -- Tak wajar persoal sistem pemerintahan dan kewibawaan polis - Najib

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai wujudnya konspirasi peringkat tertinggi untuk menjatuhkannya adalah tuduhan yang sangat berat bagi seseorang yang pernah mendukung sistem kerajaan negara ini.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak wajar bagi Anwar yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO mempersoalkan sistem pemerintahan negara, kewibawaan serta profesionalisme pihak polis.

''Adalah berat sungguh jika seseorang itu menyerang sistem yang pernah didukung apabila mereka tidak lagi berada dalam kerajaan,'' kata Menteri Pendidikan itu kepada pemberita selepas majlis penyerahan peralatan aeroangkasa Rusia kepada Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar semalam yang mendakwa ada pakatan peringkat tertinggi untuk menjatuhkannya.

Anwar juga mendakwa institusi kerajaan telah dipergunakan oleh mereka yang berpakat untuk mereka-reka dan mengada-adakan tuduhan terhadapnya.

 Menurut Najib, semua pihak harus berpegang kepada kenyataan bahawa inilah sistem yang selama ini berjalan dan berfungsi dengan lancar di negara ini.

Kata beliau, keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang memecat Anwar sebagai ahli UMNO malam tadi bagaimanapun tidak bermakna Anwar telah didapati bersalah terhadap apa-apa tuduhan.

''Sekiranya ia dianggap demikian bermakna parti sudah mendahului keputusan mahkamah,'' ujarnya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan tengah malam tadi bahawa MT sebulat suara memecat Anwar daripada parti.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang akhbar yang disifatkan Dr. Mahathir sebagai luar biasa kerana dihadiri oleh kesemua anggota MT, dan ia menggambarkan keputusan pemecatan itu adalah secara musyawarah.

Anwar yang hadir di mesyuarat itu dibenarkan ''bercakap selama mana yang dia mahu untuk mempertahankan diri''.

Dr. Mahathir menambah ahli-ahli MT juga diberi peluang satu persatu menyuarakan pendapat masing-masing.

 ''Umumnya berpendapat Anwar harus menarik diri dari UMNO. Jika tidak ia akan dipecat keahlian UMNO,'' kata presiden parti itu.

Menurut Najib, pelucutan jawatan Anwar daripada parti bertujuan membolehkan beliau membersihkan dirinya dan tidak boleh dianggap sebagai tidak adil.

Keputusan itu juga, jelas beliau, memberi peluang kepada Anwar untuk menuntut keadilan melalui proses perundangan.

Najib berkata, MT membuat keputusan setelah memikirkan bahawa Anwar tidak perlu mengheret dan mengaitkan parti dalam setiap tindakan untuk membersihkan namanya.

Katanya, MT berpendapat jika Anwar masih merupakan Timbalan Presiden dan anggota parti maka parti akan terheret sama dalam kancah dan kemelut itu.

''Kita fikir oleh kerana tuduhan itu sangat berat maka wajar untuk Anwar membersihkan dirinya sehingga dapat meyakinkan bahawa tuduhan itu tidak benar atau sebaliknya melalui proses perundangan,'' kata Najib.

Menurut beliau, MT pada mulanya berharap Anwar berundur secara terhormat, tetapi keengganan beliau berbuat demikian menyebabkan MT membuat keputusan untuk memecatnya daripada menjadi ahli.

Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK