Assalamualaikum and very great morning,

Mai dok baca Suara Mahasiswa edisi khas....to Dr M and , students are
ready to fight for justice and morality. LISTEN, LISTEN AND
LISTEN!!!!

SUARA MAHASISWA

SEPTEMBER 1998 (EDISI KHAS)
BIL 3/98
_____________________________________________________________________

ANWAR DIPECAT

Pukul  5.30 petang hari Rabu 2 September 1998 menamatkan spesikulasi
lebih 2 tahun tentang kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Anwar dipecat dari kedua-dua
jawatan tersebut dan semua jawatan kerajaan yang berkaitan. Sehingga
rencana ini ditulis, kedudukan Anwar sebagai Timbalan Presiden UMNO
masih belum diputuskan oleh Majlis Tertinggi. Kenyataan Jabatan
Perdana Menteri tidak menyebut langsung sebab-sebab perlucutan
kedua-dua jawatan tersebut.

Sejak krisis keretakan hubungan Mahathir-Anwar menjadi modal para
pencacai politik, ramai yang menelah bahawa riwayat Anwar sebagai TPM
di bawah rejim Mahathir tidak akan kekal lama. Selepas meletusnya isu
kronisme dan nepotisme dalam Perhimpunan Agung UMNO 1998 serta
penyebaran buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM",
suara-suara sumbang gerombolan hasad dan dengki mengenai keretakan
hubungan Mahathir-Anwar semakin kuat kedengaran. Mahathir dikatakan
tersinggung dan akan membalas dendam. Zahid menjadi mangsa pertama.
Anwar perlu dihukum. Desas desus mengenai perletakan jawatan Anwar
kuat bertiup. Akhbar-akhbar tertentu (Utusan Malaysia & Berita
Harian) menjadi peramal menjaja khabar angin ini ke serata pelosok
tanah air. Anwar berulang kali menegaskan bahawa beliau tidak akan
meletakkan jawatan. Mengenai Anwar sebagai seorang yang kuat
berpegang kepada prinsip, Mahathir tentunya tidak akan menunggu Anwar
untuk merubah pendiriannya. Langkah terakhirnya - pecat Anwar,
tamatkan karier politiknya.

Inilah yang terjadi pada petang Rabu itu, Mahathir membuat move dan
menamatkan spekulasi. Ramai penyokong Anwar menangis. Ramai yang
bergegas ke kediaman rasmi berrsebelahan Sri Perdana itu - termasuk
pemimpin kanan UMNO dan mahasiswa. Sembahyang hajat dan doa
mengiringi surat perlucutan jawatan. Tidak pernah terbayang di
fikiran ramai orang bahawa Dr. Mahathir akan mengambil tindakan ini.
Kedua-dua TPM sebelum Anwar meletak jawatan dengan tidak payah
dipecat. Ini kali pertama Dr. Mahathir memecat seorang ahli jemaah
menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Lebih-lebih lagi ianya berlaku
ketika negara sedang dalam mood Hari Kebangsaan dan ceria menyambut
Sukan Komanwel. Tetapi itulah Dr. Mahathir. Seorang politikus yang
sukar ditelah.

Rakyat bertanya, kenapa Anwar dipecat? Soalan ini hanya Dr. Mahathir
yang boleh menjawabnya. Jangan terkejut jika nanti seribu satu sebab
(dalil) yang keluar. Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri boleh
melakukan apa sahaja. Walau apapun, perlu diingat. Meskipun
perlantikan dan pemecatan seorang ahli Jemaah Menteri adalah kuasa
prerogative perdana Menteri, Dr. Mahathir perlu berlaku adil.
Sekurang-kurangnya, tinjau-tinjaulah suara rakyat. Ini kerana, rakyat
yang memilih pemimpin. Undi di tangan rakyat. Jangan mereka
dipersendakan. Janagan mereka dilupakan ketika mengambil sebarang
keputusan penting. Ini soal masa depan negara. Soal masa depan negara
jangan diletakkan di dalam tangan sendiri.

Anwar kelihatan tenang ketika berucap di hadapan ratusan penyokong di
kediaman rasmi beliau. Riak wajahnya tidak menunjukkan sebarang
keresahan. Malah, ucapannya masih seperti biasa - bertenaga lagak
seorang pejuang lewat zaman mudanya. Nadanya masih sama. Teruskan
perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran. Perangi rasuah, fitnah,
kebobrokan politik dan kebatilan. Penyokong-penyokong diingatkan
supaya bertenang, bertindak secara hikmah dan hormat pada
undang-undang. Utamakan ketinggian akhlak dan kemurniaan moral dalam
perjuangan.

Walau apapun, Anwar akan melangkah pergi. Tiada siapa pun yang boleh
menghalang. Anwar akan digerhanakan dalam persada politik tanahair.
Wajah beliau tidak lagi akan terpampang di dada-dada akhbar. Siapa
pun Anwar, Apa pun yang diperkatakan tentang beliau, yang pentign
ialah perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Perjuangan ini
perlu disambut. Generasi muda perlu terus mempertahankan kejernihan
idealisme. Jangan sekali-kali berganjak dari landasan penting ini.
Jangan gadaikan prinsip perjuangan dengan kemewahan duniawi. Jangan
sekali-kali berasa tergugat dengan ugutan gerombolan hasad dan
dengki. Ingatlah, walau bagaimana hebat sekalipun perencanaan mereka,
Perencanaan Allah sesungguhnya lebih utama. Wamakaru wamakarallahu
wallahu khairul makirin.
 

*****Suara Mahasiswa ini diterbitkan oleh Majlis Mesyuarat Pelajar
Malaysia.