Make your own free website on Tripod.com

Surat Terbuka Kepada Para Pengundi

 

Piliharaya Umum Kesepuluh sudah berlalu dan rakyat Malaysia telah membuat pilihan mereka. Kami dari Barisan Alternatif menghormati keputusan tersebut. Namun, benarkah keputusan tersebut merupakan pilihan rakyat yang sebenarnya? Kami telah menerima demikian banyak aduan yang menyatakan bahawa terdapat banyak perkara yang tidak kena tentang piliharaya tersebut.

Selama dua hari yang lalu kami telah menerima ratusan laporan tentang penipuan yang berlaku secara terang-terangan sepanjang Hari Pengundian tersebut. Berdasarkan maklum balas yang kami terima, maka kami tidak sekadar menganggap pilihanraya ini sebagai plihanraya yang paling kotor, sebagaimana yang dijanjikan oleh Dr Mahathir Mohamad, malah dapat kami katakan bahawa penipuan telah dilakukan secara terang-terangan dan tanpa segan silu – berbeza daripada penipuan pada masa-masa lalu yang dilakukan secara berselindung. Antara aduan yang kami terima termasuklah:

  1. 680,000 pengundi telah diberitahu bahawa mereka tidak dibenarkan mengundi kali ini. Namun sebahagian daripada mereka masih tetap pergi ke pusat-pusat mengundi dan mendapati bahawa mereka sebenarnya dibenarkan mengundi. Timbul persoalan tentang berapa ramaikah di kalangan 680,000 pengundi yang yang sepatutnya boleh mengundi itu telah diberitahu bahawa mereka tidak boleh mengundi?
  2. Nama beberapa pengundi hilang daripada senarai pengundi. Mereka kemudiannya membuat heboh dan enggan beredar sehingga mereka dibenarkan mengundi. Senarai kedua kemudiannya dikeluarkan dari bawah meja dan -- yang anehnya -- nama mereka terdapat dalam senarai kedua itu. Berapa ramaikah agaknya para pengundi hari itu yang pulang dengan hampa setelah diberitahu bahawa mereka tidak boleh mengundi, padahal sebenarnya mereka boleh mengundi?
  3. Beberapa pengundi diberitahu bahawa mereka sudah membuang undi. Apabila mereka berkeras menyatakan bahawa mereka masih belum mengundi, senarai pengundi telah ditunjukkan kepada mereka – dan ternyata bahawa nama mereka dalam senarai memang "telah dipotong", menandakan bahawa mereka sudah mengundi. Tetapi pengundi itu terus berkeras menyatakan bahawa dia masih belum mengundi dan undi beliau mungkin telah dilakukan oleh orang lain. Berapa ramaikah para pengundi yang mengalami hal demikian?
  4. Terdapat maklumat bahawa para askar di Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah membuat bantahan dan enggan mengundi kerana kertas undi mereka sudah mempunyai tanda. Sudah sedia ada suatu calitan pada kotak Barisan Nasional (BN). Pengundi hanya dikehendaki membuat satu calitan lagi untuk membentuk tanda "X". Tertapi jika dia membuat tanda "X" pada kotak Barisan Alternatif (BA), maka undinya akan dianggap "undi rosak" kerana dengan itu dua kotak akan mempunyai tanda, yang satu bertanda pangkah dan yang satu bertanda calit. Kami diberitahu bahawa akibat daripada "mogok" tersebut kertas undi telah ditukar. Dr Mahathit telah mengumumkan bahawa perkara itu akan disiasat, dan beliau tampaknya menyebut kemungkinan berlakunya "kesalahan cetak". Benarkah berlaku "kesalahan cetak" atau memang terdapat usaha secara sedar untuk memastikan bahawa para askar hanya mengundi BN, dan jika sekiranya mereka mengundi BA undi mereka akan ditolak kerana dianggap sebagai "undi rosak"?
  5. Antara laporan yang kami terima anggap paling serius ialah tentang kertas-kertas undi yang mempunyai semacam kanji atau resin terlekat padanya. Bukannya seluruh kertas undi yang mempunyai pelekat melainkan bahagian kotak untuk mengundi BA sahaja. Beberapa pengundi menceritakan bagaimana mereka tidak dapat menandakan kotak BA dengan sempurna. Yang lainnya pula menyatakan bahawa kotak tersebut terlalu licin dan tanda yang mereka buat tidak melekat. Ada pula yang menceritakan bahawa setelah mereka menandakan kotak BA itu mereka mengirai-ngirai kertas undi dan mendapati bahawa tanda yang dibuat dengan pensil itu berkecai seperti tepung lalu tanggal. Berapa orangkah lagi yang mengalami hal ini dan adakah pengalaman ini berleluasa?
  6. Beberapa pengundi mengadu bahawa pensil yang disediakan untuk mereka terlalu tumpul dan tidak lagi mempunyai mata plumbum. Mereka mendapati pensil tersebut tidak sesuai untuk menanda kertas undi dengan sempurna. Apabila mereka bertanya apakah mereka boleh menandakan kertas undi dengan menggunakan pensil atau pena yang mereka bawa sendiri mereka diberitahu bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian, dan mereka mesti menggunakan hanya pensil yang telah disediakan. Apakah arahan ini betul, dan berapa orangkah yang telah menerima arahan demikian?
  7. Selain itu terdapat pula aduan-aduan "biasa" tentang para pengundi yang mengundi lebih daripada sekali. Caranya hal ini boleh berlaku ialah jika para pengundi mengundi dengan menggunakan pelabagai nama dan pelbagai nombor kad pengenalan yang berlainan. Berapa ramaikah yang melihat terjadinya perkara ini, dan betapa meluaskan terjadinya perkara ini?
  8. Satu lagi aduan yang biasa ialah tentang para pengundi ditawarkan wang untuk mengundi calon BN. Berapa ramaikah orang yang mendapat tawaran demikian, dan adakah orang yang menyaksikan wang sogokan bertukar tangan?
  9. Beberapa pemerhati yang memantau pengiraan undi melaporkan kepada kami bahawa pada permulaan proses pengiraan undi, beberapa calon BN mengalami kekalahan teruk. Kemudian kertas undi pospun dibawa keluar, dan keputusannya segera bertukar menjadi kemenangan bagi calon BN. Salah satu contoh yang nyata ialah kes Datuk Sri Najib: sewaktu pengiraan undi sedang berjalan semua orang menyedari bahawa beliau sedang mengalami "kalah teruk". Setelah itu beberapa karung kertas undi pos mulai dibawa masuk. Yang anehnya semua kertas undi itu merupakan kertas undi untuk BN – dan undi tersebutlah yang memberikan kemengan tipis bagi Datuk Sri Najib yang berjumlah kira-kira 200 undi sahaja. Berapa orangkah calon BN yang sebenarnya telah kalah tetapi kemudiannya "diselamatkan" dengan undi pos? Dari manakah datangnya undi pos ini – undian sah atau undian yang sengaja diada-adakan? Terlalu banyak persoalan yang perlu dijawab berhubung dengan undi pos ini, soalan-soalan yang sejak lama menjadi sumber kemusykilan di kalangan pelbagai pihak. Jika benarlah apa yang telah disampaikan kepada kami – bahawa 70% para askar mengundi BA – maka kewujudan undi pos itu sepatutnya menyebabkan calon-calon yang berkenaan itu lebih terus kalahnya. Tetapi sebaliknya yang berlaku!
  10. Beberapa calon melaporkan kepada kami bahawa kotak-kotak undi ada yang dibuka tanpa kehadiran mereka atau para wakil mereka. Sewaktu mereka tiba di pusat pengiraan undi, kotak-kotak undi sudah dibuka. Selain itu ada juga yang mengadu bahawa mereka mendatapi kotak-kotak undi telah kosong. Adakah kepincanmgan-kepincangan lain yang terjadi pada malam pengiraan undi itu?

Demikianlah, pelbagai macam kepincangan dan kemungkinan penipuan yang telah terjadi dalam piliharaya yang baru berlalu itu. Apa yang kami senaraikan di atas itu mungkin hanya merupakan sebahagian kecil daripada pelbagai jenis penipuan yang telah terjadi. Kami memerlukan maklumat lanjut tentang kepincangan-kepincangan lain yang terjadi pada hari pengundian itu. Dan yang lebih penting lagi kami memerlukan para saksi yang bersedia tampil kemuka untuk membuat kenyataan bersumpah tentang segala perbuatan menipu yang mereka saksikan pada hari tersebut.

Mengundi merupakan hak asasi anda. Jangan benarkan mereka merampas hak asasi tersebut dari tangan anda. Kami perlu mengetahui apakah BN telah mendapat kuasa melalui cara-cara yang tidak wajar. Kami menyeru agar semua rakyat Malaysia melaksanakan tanggungjawabnya untuk mendedahkan penipuan ini, demi memastikan bahawa Piliharaya Umum Kesepuluh ini merupakan pilihanraya negara ini yang TERAKHIR yang telah dimenangi melalui cara penipuan, melalui amalan-amalan yang tidak adil dan bersifat jenayah.

Lakukanlah sesuatu. Tampillah kemuka untuk mendedahkan penipuan. Laporkanlah kepada kami apa yang ada lihat atau anda alami.

Kirimlah e-mail kepada kami di alamat: webmaster-keadilan@egroup.com

Telefon kami: 03-757-1245

Kirim fax kepada kami: 03-757-1245

Atau kirim surat berdaftar (courier) kepada: Parti Keadilan Nasional, 101, Blok A, Pusat Dagangan Phileo Damansara II, No. 15, Jalan 16/11, Off Jalan Damansara, 46350 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.

Apapun yang anda lakukan, lakukanlah dengan segera. Dan sudilah menyebarkan pesanan ini kepada teman, rakan sekerja, dan keluarga anda. Pastikan bahawa laporan anda menyertakan maklumat berikut:

1. Nama anda:

2. No. Kad Pengenalan Anda:

3. Alamat surat menyurat anda:

4. No. Telefon/Fax/Alamat e-mail anda:

5. Tempat anda mengundi:

6. Aduan anda (apa yang anda lihat alami):

7. Waktu berlakunya kejadian itu (kira-kira):

8. Saksi lain – jika ada:

9. Bersediakah anda membuat kenyataan bersumpah?: (ya/tidak).

 

Terima kasih.

Raja Petra Kamarudin

Bp: Puan Hajjah Marina Yusoff

Biro Pilihanraya

Parti Keadilan Nasional